SEJARAH SEKOLAH
Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Intan Zaharah (SMKTIZ) mula dikenali pada tahun 1968. Nama asalnya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Dungun. Sejarahnya bermula dengan penubuhan sebuah kelas aliran Melayu di Sekolah Menengah Sultan Omar pada tahun 1963. Guru kelas pertama pada masa itu ialah Encik Abdul Kadir bin Osman.
Pada tahun 1965, pelajar SMKTIZ menggunakan bangunan Sekolah Menengah Su;ltan Omar pada sesi petang dan bergabung dengan pelajar kelas lanjutan. Pada tahun tersebut juga seramai 20 orang pelajar telah menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Seramai 19 orang calon telah lulus dan hanya seorang calon sahaja yang gagal dalam peperiksaan tersebut.
Pada tahun 1967, pelajar SMKTIZ mula belajar di bangunan sendiri di Kampung Balai Besar, Dungun . Bangunan baru tersebut terdiri daripada 17 bilik darjah, sebuah bilik pengetua, sebuah pejabat, dua buah makmal sains, dan sebuah kantin. Ambilan pertama adalah seramai 738 orang pelajar dan 33 orang tenaga pengajar. Pada tahun 1968 SMKTIZ dibuka secara rasminya oleh Yang Berhormat Encik Mohd Khir Bin Johari, Menteri Pelajaran Malaysia pada ketika itu. Pada tahun 1970, SMKTIZ mendapat bangunan tambahan iaitu tiga buah makmal sains, satu bilik perpustakaan dan sepuluh bilik darjah. Mata pelajaran sains tulen juga telah diperkenalkan pada tahun yang sama. Dua kelas tingkatan 6 bawah aliran Sastera mula dibuka pada tahun 1976. Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1978, sebuah kelas 6 bawah Sains mula dibuka.
Surau sekolah yang boleh menampung 2000 ahli jemaah telah dibina pada tahun 1979 atas inisiatif Tuan Pengetua Tuan Haji Abdul Rahim Bin Tahir. Pada tahun 2001 makmal komputer dibina dan padang pentaque disediakan. menjelang tahun 2002. Sebanyak tiga blok bangunan baru dengan setiap blok setinggi tiga tingkat mula dibina pada tahun 2002 dan siap sepenuhnya menjelang sesi persekolahan 2004. Pembelajaran satu sesi persekolahan bermula pada bulan September 2003. Pada tahun 2004 SMKTIZ telah ditawarkan sebagai Sekolah Elit daerah Dungun. Manakala pada tahun 2005 SMKTIZ telah dipilih sebagai sekolah Premier daerah Dungun